Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

    Jangan menghina diri sendiri!

    king_diamond
    king_diamond
    superpower MV


    Posts : 767
    Points : 30628
    Location : palestine
    Signature : iman adalah aset...kalau kurang boleh tambah...kalau abis leh bankrap...hihi

    Jangan menghina diri sendiri! Empty Jangan menghina diri sendiri!

    Post by king_diamond Wed 20 May 2009, 3:35 pm

    Baru-baru ini sewaktu musim cuti, penulis menjamu selera di gerai 'Burger Bundle' di Seksyen7. Sepinggan Nasi Goreng Udang dan Air Bandung Muar berharga RM6.60! Nafas penulis turun naik sewaktu membayarnya.. Namun, bukan soal harga yang ingin penulis tuliskan di sini. Tapi, ada sesuatu yang lebih menarik untuk tatapan kita kali ini.

    Lama menunggu, maka penulis alihkan perhatian ke arah TV3 yang sedang menyiarkan sebuah cerita yang amat penulis kurang gemar lihat sejak penulis kecil lagi. Cerita Pontianak (penulis kurang ingat pontianak apa nama ceritanya). Namun, disebabkan lama menunggu tempahan yang tidak siap-siap, maka penulis bersama kawan-kawan menonton juga ceritanya.

    Dalam cerita itu, watak seorang Lebai Tua adalah Heronya. Cerita itu bermula apabila seorang wanita yang dibunuh di kampung itu menjelma menjadi pontianak dan mengamuk di kampung itu.Maka orang ramai bertanya sang Lebai, "Apakah itu sebenarnya?".

    Seterusnya, jawapan sang Lebai Tua itu yang menjadi perhatian penulis, "Roh perempuan tua itu tidak aman.. maka, rohnya menjelma menjadi pontianak untuk membalas dendam..". Maka terbahak-bahak sehingga hampir terburailah usus kami mendengarkan hujahan Tok Lebai itu!

    Kita tahu, Lebai ialah gelaran terhormat yang diberikan oleh penduduk kampung kepada mereka yang tinggi ilmu agamanya. Tapi dapat kita lihat betapa jahilnya lebai yang dipaparkan di TV3 tadi. Walaupun kepalanya ditutupi kopiah, tapi rasanya akal beliau turut tertutup dengan tutupan pemikiran songsang masyarakat yang tidak bertamadun.

    Tidak pernah ada satu dalil hadis atau Al-Quran pun yang pernah mengatakan bahawa roh seseorang itu boleh bertukar menjelma menjadi pontianak dan seterusnya pergi menyerang kampung untuk membalas dendam. Hujah apa yang mereka gunakan? Kitab mana yang mereka rujuk? Penulis rasa soalan yang paling sesuai ialah, "Bomoh mana kau tanya?".

    Pemikiran jenis bebal apa ini? Mungkin akan ada antara kita yang berkata, "kenapa kita perlu sibuk-sibuk, itukan cerita saja..". Penulis bukan hendak menyibuk atau buat-buat sibuk dengan hal ini. Rasanya penulis sudah cukup sibuk di sini. Tapi, ingin penulis ingatkan di sini bahawa orang ramai terutamanya yang bukan Islam turut menonton rancangan-rancangan seperti ini. Sudah tentu akan menimbulkan persoalan di hati mereka tentang ini.

    Mereka mungkin bertanya adakah Islam ini sebuah agama mistik yang ada mengajar penganutnya bagaimana cara-cara melawan Pontianak atau erti kata lain, 'roh yang tak aman'. Maka di situ salah tanggapan tentang Islam sudah berlaku! Malahan, cerita Pontianak itu turut menampakkan dan menonjolkan watak Lebai yang sangat dihormati di kalangan masyarakat kita menjadi seperti seorang tua nyanyuk yang berperanan serupa bomoh yang tahu berperang dengan hantu tetapi cetek ilmu agamanya.

    Pandai sembur ke kanan dan ke kiri untuk menghalau pontianak, tapi bila ditanya tentang asal-usulnya pontianak yang datang membunuh di kampung itu, maka dijawabnya dengan jawapan sasau sedemikian rupa. Generasi muda terpelajar mungkin akan menyangka bahawa inilah wajah sebenar Tok Lebai.

    Sedangkan kita tahu bahawa Lebai-lebailah antara golongan mulia yang mengembangkan dan mempertahankan institusi Islam di negara kita. Adalah amat menghinakan apabila kita mengambarkan watak Lebai sedemikian rupa.

    Kita tahu bahawa dalam menjelaskan tentang soal makhluk halus ini, telah Allah ingatkan pada kita bahawa ia hanyalah syaitan. Dan syaitan itu tugasnya menyesatkan anak Adam. Jadi, mengatakan Pontianak itu asalnya dari roh yang tidak aman seolah-olah seperti menafikan apa yang telah diajar oleh Allah dan KekasihNya, Muhammad SAW. Di situ kita sudah berjaya disesatkan.

    Ya, itu hanya cerita! Tapi filem kita mencerminkan pemikiran kita. Adalah sangat pelik di zaman moden ini bila kita lihat masih ada antara kita yang berfikiran seperti ini. Seolah-olah seperti semua perkara akan dikaitkan dengan hantu. Sakit perut pun hantu, demam panas pun hantu, hatta tertelan tulang ikan pun dikatanya pelesit yang ganggu.

    Bukankah selama ini kita lantang berdemonstrasi membantah apabila orang menghina agama kita yang suci ini? Tetapi mengapa kita mengejek agama kita sendiri? Jadi, meminjam kata-kata Dr Asri bin Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis (bukan Wahhabi ya, jangan silap), "Kalau tak suka dihina, janganlah menghina diri sendiri!".


      Current date/time is Fri 26 Apr 2024, 4:51 pm