SHAH ALAM – Gara-gara tidak cukup gaji untuk menyara kehidupan, tiga lelaki Vietnam sanggup menjadikan anak dan telur burung Pucung Kuak sebagai makanan harian mereka.
Kegiatan memungut dan mengumpul spesies dilindungi itu sering dilakukan pada hujung minggu di kawasan bekas lombong di Kuala Garing, Rawang dekat sini iaitu lokasi utama pembiakan burung itu.
Mereka hanya mengambil anak burung yang didakwa lazat dimakan manakala telurnya digoreng atau direbus.
Namun, kegiatan sejak sebulan lalu itu terbongkar setelah sepasukan penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menyerbu lokasi tersebut pagi semalam setelah melakukan intipan selama hampir sebulan.
Pengarah Jabatan Perhilitan Selangor, Rahmat Topani pada sidang akhbarnya semalam berkata, ketika serbuan pukul 10.50 pagi, kesemua suspek berusia 20-an tersebut sedang asyik memungut dan mengumpul anak dan telur burung itu.
“Kami berjaya menahan mereka dan merampas sembilan ekor anak serta 395 biji telur burung Pucung Kuak yang sudah dipungut untuk dijadikan sumber makanan,’’ katanya.