Kalau anda ke negeri Pulau Pinang, jangan sekali-kali melepaskan peluang untuk pergi ke pasar malam Batu Feringghi. Kalau nak tahu, pasar malam Batu Feringghi bukan seperti kebanyakan pasar malam di tempat lain. Sebaliknya, keadaan di sini lebih meriah dengan gelagat peniaga serta para pelancong yang ingin melihat sendiri kemeriahan pasar malam ini.
Walaupun sudah banyak premis perniagaan yang dibangunkan namun keindahan pasar malam Batu Feringghi tetap mendapat tempat yang istimewa di hati penduduk setempat. Malah bukan setakat orang Melayu, sebaliknya masyarakat Cina, India serta pelancong asing juga tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli belah di sini.
Ini kerana di pasar malam Batu Feringghi, pengunjung bukan sahaja boleh memperoleh barang-barang yang murah, pelik dan unik malah buat para pengunjung yang bijak, mereka boleh mendapatkan produk istimewa dengan harga yang sangat menguntungkan. Apatah lagi Pulau Pinang memang terkenal sebagai salah satu kota pelancongan menarik di Malaysia.
Keadaan kedai yang berderet sepanjang 5 km di jalan utama membuatkan orang ramai tertarik untuk berjalan sambil meneliti gerai-gerai tersebut. Apatah lagi bila diserikan dengan lampu pelbagai warna apabila malam menjelang.
Keadaan yang meriah serta berwarna-warni itu menyebabkan perjalanan yang jauh tak terasa. Lebih menarik pasar malam ini berdekatan dengan kedai makan, pantai serta hotel-hotel penginapan. Apabila letih atau dahaga, banyak kedai makan yang boleh dijadikan pilihan untuk berehat.
"Jika tak membeli barang pun, dapat melihat barang-barang unik yang dijual di sini pun dah cukup menyeronokkan. Buat mereka yang bijak, mereka boleh membeli barang dengan harga yang murah. Semuanya boleh diatur asalkan pandai tawar-menawar," ujar salah seorang pengunjung yang tidak lepas peluang mengunjungi pasar malam Batu Feringghi setiap kali dia ke Pulau Pinang.
Buat pengetahuan semua, tarikan utama di pasar malam Batu Feringghi ini ialah jumlah kedai yang terdapat di sini. Menurut sumber, terdapat lebih 1,000 gerai menjual pelbagai barangan. Antara produk yang dijual termasuklah perhiasan rumah, beg tangan, wallet, jam, pakaian, pelbagai aksesori, makanan dan minuman, barangan hiburan, kraftangan hasil penduduk tempatan, minyak wangi dan pelbagai barangan lain.
Selain kepelbagaian produk yang dijual, harga barangan yang berpatutan serta ditambah dengan sikap bersopan santun para peniaga menjadikan pasar malam Batu Feringghi unik dan tersendiri. Paling penting para peniaga di sini tidak pernah memaksa pengunjung agar membeli barangan yang mereka jual. Ini kerana mereka sedar, pilihan terletak ditangan pembeli dan sebagai peniaga mereka hormati pendirian pelanggan.
Bagi mereka yang mementingkan soal keselamatan, ia tidak menjadi masalah besar di sini. Ini kerana terdapat pihak keselamatan yang bertugas serta mampu mengawal keadaan di situ.
Peniaga memulakan perniagaan seawal jam 7 malam dan akan berakhir sekitar 12 tengah malam. Bagaimanapun ia juga bergantung kepada keadaan pengunjung pada setiap malam.
Setelah penat berjalan menyusuri pasar malam Batu Feringghi, sudah tiba masanya untuk berehat. Di seberang jalan pasar malam ini, terdapat banyak restoran untuk anda semua menghilangkan dahaga serta menjamu selera.
Semua makanan yang disediakan sudah pasti lazat-lazat belaka. Ada makanan tempatan dan ada juga makanan barat yang boleh dijadikan menu pilihan. Harganya pula bergantung kepada bajet seseorang. Jika mahukan makanan yang murah, gerai jadi pilihan. Jika mahukan makanan yang eksklusif pula, pelbagai restoran serta hotel terpilih boleh memuaskan selera anda.
Bagi anda yang baru pertama kali melawat Pulau Pinang, anda boleh gunakan kenderaan awam dari bandar Georgetown yang hanya akan mengambil masa selama 30 minit sahaja. Sekiranya menaiki teksi tambangnya sekitar RM25 manakala bas Transitlink bernombor 202 atau 93 hanya mengenakan tambang sekitar RM2 seorang.