NEW YORK - Satu adegan kejar-mengejar kereta dalam sebuah filem
Hollywood bertukar menjadi tragedi apabila sebuah kenderaan melanggar
bahu jalan sebelum merempuh sebuah restoran di sini menyebabkan dua
orang cedera, kata polis dan saksi.
Tragedi itu berlaku sebelum pukul 1 pagi waktu tempatan semalam.
Ketika kejadian, polis menyiarkan notis yang memberitahu beberapa
jalan ditutup berikutan penggambaran filem lakonan aktor Nicholas Cage,
The Sorcerer's Apprentice.
Adegan itu memerlukan sebuah kereta Ferrari memotong beberapa buah kenderaan.
"Kereta Ferrari itu melalui selekoh tajam dan terbabas sebelum melanggar sebuah tiang lampu dan kios akhbar.
"Ia turut melanggar seorang wanita manakala seorang lelaki dihempap
tiang lampu sebelum kereta itu merempuh sebuah restoran," kata seorang
pelancong Britain, Mark Watkins.
Kedua-dua mangsa itu dibawa ke Hospital Bellevue di sini namun kecederaan yang dialami mereka dilaporkan tidak parah. - Agensi