Lebih 30 Rumah Rosak Dilanda Ribut Di Kuantan

    Share

    carnationmyra
    superpower MV

    Posts : 703
    Points : 16723
    Location : Venice of Perak

    Lebih 30 Rumah Rosak Dilanda Ribut Di Kuantan

    Post by carnationmyra on Mon 20 Apr 2009, 2:27 am



    KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan teruk akibat dipukul hujan ribut dan angin kencang yang melanda kawasan perumahan Balok Perdana di sini petang ini.

    Dalam kejadian 4 petang itu, ratusan penduduk kawasan itu panik apabila rumah mereka mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung apabila angin kencang melanda.

    Seorang mangsa, Mohd Amran A. Hamid, 45, berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan lima anaknya berada di rumah yang baru didudukinya sejak empat bulan lalu.

    "Saya dan isteri tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan apa yang kami boleh lakukan ketika itu cuma berlindung di dalam rumah sambil berdoa," katanya ketika ditemui di sini.

    Menurutnya keadaan hujan lebat dan angin kencang itu di luar jangkaan berikutan keadaan cuaca sebelum itu cerah dan baik.

    Katanya ketika kejadian, beliau merasa rumahnya mengalami gegaran kecil dan menyaksikan bumbung-bumbung rumah jirannya diterbangkan angin kuat.

    Mohd Fikri Azri Md Saat, 24, berkata rumah sewanya mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung di samping hampir semua barangan elektrik rosak kerana terkena air hujan.

    "Atap rumah saya tercabut akibat ditiup angin menyebabkan air hujan membasahi peralatan elektrik," katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Balok Perdana, Osman Abdullah berkata lebih 30 rumah dipercayai mengalami kerosakan teruk akibat kejadian itu.

    "Saya akan cuba meminta bantuan daripada Tabung Bencana Alam bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk akibat kejadian ini," katanya.

    --BERNAMA

      Current date/time is Tue 06 Dec 2016, 10:03 pm