Rumah Dan Kenderaan Rosak Dalam Ribut Di Pasir Puteh

    Share

    carnationmyra
    superpower MV

    Posts : 703
    Points : 16723
    Location : Venice of Perak

    Rumah Dan Kenderaan Rosak Dalam Ribut Di Pasir Puteh

    Post by carnationmyra on Mon 20 Apr 2009, 2:26 am



    PASIR PUTEH, 19 April (Bernama) -- Lebih 30 buah rumah musnah dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda empat buah kampung di jajahan ini, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5 petang itu, ribut itu juga turut menumbangkan beberapa batang pokok besar dan menerbangkan sebahagian besar atap rumah penduduk.

    Ribut berserta hujan lebat selama kira-kira 15 minit itu dilaporkan berlaku di Kampung Setol, Kampung Wakaf Bunut, Kampung Pasir Pauh dan Kampung Kedai Meranti.

    Beberapa buah kenderaan turut rosak ditimpa pokok manakala serpihan bumbung bertaburan di sekitar kampung tersebut dan sehingga malam ini bekalan elektrik turut terputus di kampung terbabit.

    Seorang pemilik bengkel kenderaan, Zulkifli Yusof, 48, dari Kampung Setol berkata ketika kejadian angin kencang disusuli hujan lebat berlaku selama 15 minit menyebabkan bumbung bengkelnya melayang.

    "Empat pekerja saya bertaburan lari menyelamatkan diri dan ada bersembunyi di bawah lori yang sedang dibaiki," katanya.

    Zulkifli yang ketika itu berada tidak jauh dari kedainya turut melihat angin puting beliung turut memusnahkan beberapa buah rumah lain dan menumbangkan pokok.

    Isterinya, Zauyah Razak, 44, berkata ketika itu beliau hanya memikirkan keselamatan lima anaknya dan pengalaman itu disifatkan sangat menakutkan.

    Seorang penduduk dari Kampung Kedai Meranti, Sahak Salleh, 65, tidak dapat melupakan beberapa batang pokok tumbang di depan matanya.

    "Takut sungguh kalau nak fikirkan kejadian pada masa itu. Pokok yang besar pun boleh tumbang dan pak cik hanya mampu melaungkan azan," katanya.

    Jurucakap polis memaklumkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

    -- BERNAMA

      Current date/time is Tue 06 Dec 2016, 10:02 pm